Jasa Hero Teknologi

Broadband for business in Malaysia, Discounted calls, Telco in Malaysia, IOT in Malaysia

26 Aug Jasa Hero Teknologi

Apabila menyebut mengenai kemerdekaan, kita akan mengimbas tokoh atau wira yang memperjuangkan negara hingga menumpahkan darah demi kelahiran Malaysia.
Individu ini dijulang dan diiktiraf di pelbagai peringkat terutama badan beruniform, tokoh sukan atau ahli politik.
Namun, bagi masyarakat moden terutama era digital, Malaysia juga mempunyai wira senyap yang berada di belakang tabir membangunkan negara bukan dengan senjata api, tetapi skil teknologi.

Beberapa individu menjadi tokoh teknologi yang mengubah corak kehidupan dan mengharumkan nama negara.
Jika tiada individu ini, anda mungkin tidak kenal pada beberapa teknologi termasuk Internet dan animasi popular, Boboiboy.
Dr Mazlan Abbas misalnya, kini memegang jawatan Ketua Pegawai Eksekutif REDtone IOT Sdn Bhd yang menyediakan penyelesaian bandar pintar.
Beliau mempunyai lebih 30 tahun pengalaman dan pencapaian dalam kapasiti pengurusan kanan terutama bertanggungjawab untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D), pembangunan inovasi produk & penyelesaian, pengurusan teknologi, operasi rangkaian dan ahli akademik bukan calang-calang individu dalam teknologi.
Sebelum menyertai REDtone, beliau menghabiskan lapan tahun di MIMOS Berhad iaitu agensi yang bertanggungjawab dalam penyelidikan teknologi sebagai Pengarah Kanan Kluster Komunikasi Tanpa Wayar mengatur strategi sehingga lahir produk baru seperti mesin rangkaian yang diguna pakai di negara ini.
Beliau juga menghabiskan 13 tahun di Celcom mengendalikan pelbagai jawatan pengurusan kanan termasuk R&D, operasi bil, teknologi dan pengurusan teknikal, pentadbiran dan pengurusan rangkaian, data mudah alih, penyelesaian perniagaan bersepadu dan mudah alih.
Rekod beliau sebelum itu juga memberangsangkan apabila menghabiskan 10 tahun sebagai pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
Dr Mazlan menjadi penceramah yang kerap dalam banyak persidangan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) dalam negara dan di peringkat global.
Lulusan dari UTM dan Universiti Essex (UK) de­ngan sarjana dalam telematik dan kedoktoran dalam bidang telekomunikasi memberi kesan mendalam kepada negara.
“Ia mengenai masa, kita sebagai rakyat Malaysia mempunyai semangat perpaduan dalam menyokong produk dan teknologi buatan tempatan,” kata Dr Mazlan ketika dihubungi IT@Metro.
Katanya, beliau mempercayai rakyat negara ini pasti akan membantu untuk merangsang pembangunan produk tempatan.
“Sebelum kita meminta orang lain untuk menggunakan produk sendiri, kita perlu menggunakannya pada diri kita dulu,” kata­nya.
Terbaru, Dr Mazlan melalui REDtone membangunkan aplikasi mudah alih bandar pintar dipanggil CitAct yang berasaskan Internet untuk segalanya (IoT) yang membantu untuk menangani cabaran dihadapi bandar.
“Menggunakan telefon pintar, rakyat boleh melaporkan pada isu utama seperti jenayah, parit, pokok tumbang, lampu isyarat rosak, kebakaran, banjir kilat, orang kehilangan tempat tinggal, kesalahan meletak kenderaan, tanah runtuh, tempat pembiakan nyamuk, jalan berlubang, binatang sesat, sampah tanpa pengawasan, vandalisme dan kebocoran air,” katanya.
Menurutnya, melalui portal bandar pintar yang dipanggil CitiSense, rakyat akan dapat mengesan status laporan mereka manakala bagi majlis tempatan, mereka dapat bertindak segera ke atas kes yang dilaporkan.
“Ia sekali gus memberikan perkhidmatan yang berkaitan dan mengemas kini status kes melalui Sistem Pengurusan Kes CitiAct,” jelas Mazlan.
Beliau berkata, dengan CitiAct, mereka boleh bergantung kepada telefon, tanpa menunggu ke pejabat untuk membuka, tidak perlu membuat aduan di media sosial atau akhbar apabila terdapat saluran lebih tepat.
Anda kenal Dr Mohamed Awang Lah? Beliau bapa Internet di negara ini apabila mengepalai JARING yang bertanggungjawab menguruskan Internet negara.
Beliau memulakan kerjaya sebagai jurutera di Lembaga Letrik Negara (LLN) pada 1976. Kemudian memasuki dunia akademik sebagai tutor di Universiti Malaya (UM) di Fakulti Kejuruteraan dan berkhidmat sebagai Timbalan Dekan pada 1983.
Dr Mohamed menyertai MIMOS pada 1984 sebagai pengarah di bahagian sistem komputer.
Beliau memperoleh ijazah sarjana muda dari King College, University of London pada 1976 dan menamatkan PhD dalam bidang Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik pada 1980 di universiti sama.
Beliau mula menjumpai perkataan Internet pada 1983 ketika mengajar di UM dan terus berusaha merealisasikan penggunaannya.
Dr Mohamed berusaha menyediakan kelengkapan dan keupayaan untuk melaksanakan sambungan Internet secara jarak jauh antara beberapa universiti dan institusi penyelidikan tempatan dengan dibantu beberapa penyelidik.
Tujuannya menarik minat pihak lain untuk bekerjasama membina Internet di Malaysia dengan kelajuan hanya sekitar 1,200bps yang kemudian meningkat kepada 9,600bps.
Sambungan secara ‘dial-up’ juga dibuat ke Amerika Syarikat, Australia dan Korea Selatan sebagai ‘gateway’ untuk berkomunikasi dengan dunia luar.
Tiada talian tetap dipasang untuk sambungan antarabangsa sehingga November 1992 apabila sambungan melalui satelit dipasang ke Stockton, Amerika Syarikat dengan kelajuan 64kbps berharga hampir RM300,000 setahun.
Bayangkan, tanpa usaha Dr Mohamed, kita mungkin ketinggalan daripada menggunakan Internet pada hari ini.
Siapa pula tidak kenal BoboiBoy? Di belakang­nya susuk anak muda bernama Nizam Razak berjaya menghasilkan animasi yang bukan saja popular di Malaysia, malah di negara Asia lain.
Hasilnya dinaungi Animonsta Studios yang menjangkau umur lima tahun ditubuhkan khusus untuk menerbitkan animasi dalam bentuk siri dan filem.
Produk sulung, BoBoiBoy ditayangkan di TV3 dan kini saluran Disney Channel Asia yang dapat ditonton di 16 negara.
Nizam dan rakan menggunakan konsep ‘Universal Content with Local Touch’ (kandungan universal de­ngan sentuhan tempatan) apabila percaya animasi terbitan tempatan dapat pergi lebih jauh ke pasaran antarabangsa.
Kejayaan BoBoiBoy pasti mendorong ramai anak muda lain untuk mencuba nasib dalam bidang animasi.
Hasilnya, pembangunan kandungan tempatan yang kreatif boleh menarik penonton luar negara membeli produksi tempatan.
Seorang lagi tokoh, Reza Razali berjaya menubuh­kan syarikat meskipun baru berusia 18 tahun. Lebih manis, syarikat terbabit kini menyusup ke Lembah Silikon di San Francisco, Amerika Syarikat dalam usahanya mengembangkan operasi ke negara berkenaan.
Terato Tech berjaya menandatangani perjanjian dengan penerbit mainan video terkemuka yang mempunyai 16 juta pelanggan di seluruh dunia, Bulkypix.
Kehadiran Terato di Amerika Syarikat sekali gus menjadikan Terato sebaris syarikat antarabangsa yang bertapak di hab ICT dunia itu seperti facebook, Intel, Google, Twitter, Yahoo!, eBay dan banyak lagi.
“Lembah Silikon penting sebagai hab IT dunia membolehkan kami berinteraksi dan berjumpa syarikat besar seperti Google, Zynga dan EA selain pusat syarikat pemula yang menarik dan kreatif.
“Ia usaha memasuki pasaran AS yang sukar diperoleh anak Malaysia, tetapi kami berjaya melaksanakannya.
“Saya bangga dapat membawa masuk nama Malaysia ke peringkat antarabangsa, sekali gus menunjukkan peng­iktirafan barat terhadap keupayaan kita,” kata anak muda berasal dari Bangi itu.

 

Source: My Metro

No Comments

Sorry, the comment form is closed at this time.