JOHOR WIFI DIPERLUAS KE 49 HOTSPOT LUAR BANDAR
12 Apr 2017

Kerajaan Negeri akan memperluaskan Johor WiFi ke 49 hotspot di kawasan luar bandar pada tahun ini yang akan memberi manfaat kepada masyarakat di kawasan tersebut.

Menteri Besar Johor, Dato’ Mohamed Khaled Nordin berkata perluasan kemudahan jalur lebar tanpa wayar secara percuma itu adalah antara insiatif yang telah diumumkan pada pembentangan Bajet 2017 dengan kos sebanyak RM4.31 juta.

“Kemudahan Johor WiFi ini merupakan medium bagi merapatkan jurang digital antara masyarakat di bandar dan luar bandar.

“Pendekatan yang dilaksanakan Kerajaan Negeri di kawasan luar bandar bukanlah suatu usaha untuk membandarkan mereka atau menjadikannya seperti bandar.

“Sebaliknya, mereka berhak mendapat segala nikmat yang sama seperti mereka yang tinggal di bandar bagi menjamin kesejahteraan dan kualiti hidup,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Majlis Pelancaran Johor WiFi Luar Bandar, sempena lawatan kerjanya ke Parlimen Pontian, di Dewan Homestay Puteri Menangis, di sini hari ini.

Turut hadir Ahli Parlimen Pontian, Datuk Ahmad Maslan; Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Negeri, Datuk Ir. Hasni Mohammad dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Perdagangan dan Kepenggunaan Negeri, Datuk Tee Siew Kiong.

Menurutnya, kemudahan percuma di daerah Pontian akan ditempatkan di lima hotspot iaitu di Pejabat Daerah Pontian, Dewan Homestay Kampung Puteri Menangis, Balairaya Kampung Parit Stan, Balairaya/Perpustakaan Serkat dan Masjid Penerok.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, sebanyak 74 hotspot baharu akan dipasang pada tahun ini.

“Daripada jumlah itu, sebanyak 49 hotspot terletak di kawasan luar bandar.

“Pada masa ini sebanyak 135 hotspot Johor WiFi sudah diaktifkan di kawasan bandar yang melibatkan 235,000 akaun berdaftar di bawah kelolaan Pihak Berkuasa Tempatan.

“Maka, untuk tahun ini Kerajaan Negeri akan perluaskan kemudahan percuma itu di kawasan luar bandar pula,” katanya.

Source: Jauhar