Kejuaraan skuasy remaja tarik 660 penyertaan

REDtone KL INTERNATIONAL JUNIOR OPEN SQUASH CHAMPIONSHIPS , sports, squash malaysia, squash players malaysia,

05 Dec Kejuaraan skuasy remaja tarik 660 penyertaan

Kejohanan Skuasy Remaja Terbuka Antarabangsa Kuala Lumpur REDtone ke-10 yang bakal diadakan pada 6-11 Disember ini, berjaya menarik penyertaan 660 pemain dari seluruh dunia.

Pertandingan tersebut melibatkan pemain tuan rumah Malaysia, Singapura, Indonesia, Jepun, Pakistan, Sri Lanka, Australia, Colombia, Iran, Papua New Guinea dan New Zealand.

Apa yang lebih menarik, kejohanan pada tahun ini turut berjaya menarik penyertaan peserta dari China dan Myanmar.

Pemangku Presiden Persatuan Raket Skuasy Wilayah Persekutuan (SRAFT), Steven Kwan dalam kenyataannya berkata, kejohanan tersebut akan dilangsungkan di dua venue berasingan di ibu negara iaitu di Kompleks Skuasy di Jalan Duta dan Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil.

“Kejohanan ini telah menjadi acara terbesar di Asia sejak 2013 dan untuk tahun kedua berturut-turut kami berjaya menarik penyertaan lebih daripada 650 pemain. Ini merupakan satu angka yang amat memberangsangkan untuk sukan ini,” kata Steven.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan REDtone International Berhad, Lau Bik Soon pula melahirkan rasa gembiranya kerana SRAFT sekali lagi memberi kepercayaan kepada pihaknya untuk bersama-sama menjayakan kejohanan tersebut buat kali kelima berturut-turut.

“Kami benar-benar gembira menyaksikan pertumbuhan bukan sahaja dari segi saiz penyertaan, tetapi juga dari aspek peningkatan kedudukan dan populariti sukan ini di seluruh dunia. Ini merupakan berita baik untuk skuasy dan peminatnya,” ujarnya.

 

Source: Utusan Malaysia

No Comments

Sorry, the comment form is closed at this time.