Kerajaan pastikan era digital 
dinikmati semua rakyat – PM

REDtone, red balloon, hot air balloon, broadband providers in Malaysia

14 Mar Kerajaan pastikan era digital 
dinikmati semua rakyat – PM

Kerajaan akan memastikan dunia baharu yang melambangkan ekonomi baharu atau era digital dapat dinikmati oleh semua rakyat di seluruh pelosok negara ini kerana menye­dari dimensi alam maya mampu membawa perubahan yang sangat besar kepada Malaysia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, bagi mencapai tujuan itu, kerajaan akan mempergiat dan memper­kenalkan langkah-langkah yang lebih sesuai bagi meningkatkan keupayaan penggunaan digital kepada masyarakat di negara ini.

“Kalau sebelum ini apabila kita mahu melakukan apa-apa majlis, kita memberi tumpuan kepada soal fizikal, kita melihat kepada produk, kita melihat kepada barangan tetapi ada satu dunia baharu, dimensi baharu yang melam­bangkan apa yang kita sebut sebagai ekonomi baharu atau era digital iaitu dimensi alam maya yang mesti kita bawa supaya kita tidak mundur.

“Sebab itulah di Sarawak hari ini, kita melancarkan Program Malaysia Inklusif Negara Digital (Minda). Dua perkataan yang signifikan iaitu inklusif bermaksud kita mahu memastikan setiap ceruk, pelosok, sudut dalam Malaysia termasuk Sarawak mesti dibangunkan dalam erti kata yang sebenar.

“Kita mahu memastikan bahawa era digital ini dapat dikecapi oleh rakyat negeri Sarawak dan seluruh Malaysia walau di mana sahaja mereka berada kerana era digital membawa perubahan sangat besar,” katanya dalam ucapan ketika melancarkan Minda di Tebingan Kuching di sini hari ini.

Yang turut hadir, Ketua Menteri, Tan Sri Adenan Satem; Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Alfred Jabu Numpang; Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Mohd. Salleh Keruak; Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim; Menteri Perumahan dan Pelancongan ne­geri, Datuk Amar Abang Johari Tun Openg serta Ketua Wanita UMNO merangkap Penasihat Bersama Minda, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.

Minda merupakan program berjiwa rakyat yang bermatlamat menghubungkan rakyat, membina masyarakat bermaklumat dan merangsang ekonomi digital.

Program kebangsaan ini menjadi landasan terbaik bagi kementerian dan agensi-agensi kerajaan membantu rakyat mendepani pelbagai cabaran era digital yang semakin berkembang di negara ini.

Mengulas lanjut, Najib berkata, perkembangan era digital menyebabkan rakyat negara ini kini sudah berubah cara berkomunikasi di mana jika dahulu komunikasi adalah dalam bentuk ‘muka ke muka’ tetapi sekarang melalui laman sosial Facebook.

“Malaysia merupakan antara negara tertinggi menggunakan Facebook di dunia. Saya dengar khabar, purata mereka yang mengamalkan komunikasi melalui Facebook ini menghabiskan masa selama 5 hingga 6 jam sehari untuk mengendalikan Facebook masing-masing.

“Kalau dari segi telefon mudah alih pula, kita mempunyai bilangan telefon bimbit dan telefon pintar melebihi jumlah penduduk Malaysia, juga antara tertinggi di dunia,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, kerajaan akan terus menambah baik liputan talian komunikasi di bandar-bandar utama dan perlaksanaan projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) Fasa 2 dengan kerjasama sektor swasta yang melibatkan pelaburan sebanyak RM1.8 bilion.

Beliau berkata, inisiatif tersebut dijangka menyediakan liputan dan kemudahan tambahan terutama di kawasan bandar yang memberi manfaat kepada 2.8 juta isi rumah di seluruh negara serta peningkatan kelajuan internet kepada 10 megabit per saat (Mbps).

Selain itu, katanya, kawasan pinggir bandar disediakan kelajuan jalur lebar yang lebih tinggi dengan penambahan akses kepada internet antara 4 dan 10 Mbps yang akan memberi manfaat kepada 2 juta pengguna.

“Bagi Sarawak, sebanyak 150 menara komunikasi dan 438 WiFi komuniti telah dan sedang giat dilaksanakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia dengan kerjasama pemberi perkhidmatan utama iaitu Celcom, Digi, Maxis, Redtone dan Measat,” katanya.

Tambahnya, bagi meningkatkan akses kepada internet untuk Sabah dan Sarawak, kerajaan komited untuk melaksanakan pemasangan kabel dasar laut dalam tempoh tiga tahun dengan kos sebanyak RM850 juta.

 

Source: Utusan Online

No Comments

Sorry, the comment form is closed at this time.