REDTONE BANGUNKAN LOT LADANG DURIAN
15 Aug 2018

Unit milik penuh REDtone International Bhd., REDtone IoT Sdn. Bhd. (RISB), menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Bangi Farm Resort Sdn. Bhd. (BFR) untuk meneroka pembangunan rumusan perladangan pintar dalam usaha meningkatkan kualiti dan pengeluaran durian.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan REDtone, Lau Bik Soon berkata, rumusan perladangan berasaskan Objek Rangkaian Internet (IoT) itu dijangka mampu meningkatkan kualiti, serta menggalakkan pengeluaran durian termasuk spesis durian Musang King yang popular.

Ujarnya, usaha itu bertujuan memenuhi pertambahan permintaan dari pasaran luar negara terhadap durian menerusi inisiatif memanfaatkan kepakaran REDtone dalam rangkaian bersepadu dengan teknologi peringkat akhir, infrastruktur mobiliti, teknologi awan serta pelbagai platform analisis. Katanya, rangkaian dan infrastruktur mobiliti, teknologi awan, platform data raya serta kemahiran penyepaduan teknologi yang dimiliki REDtone akan digabungkan dengan kepakaran BFR dalam penanaman durian.

“Rumusan IoT kami mampu merevolusikan sektor perladangan dengan penggunaan penyelesaian IoT yang menawarkan data tepat pada masa sebenar.

“Ini termasuk mengenai keadaan tanah dan air, ramalan cuaca, data raya memberikan maklumat mengenai serangan haiwan perosak dan kualiti tanah selain pemantauan oleh sistem kamera tertutup walaupun di kawasan terpencil serta sistem pengesanan bermula daripada penghasilan durian hingga pengedaran produk,” katanya dalam kenyataan di sini baru-baru ini.

Sementara itu, Pengarah BFR, Tan Ban Keat berkata, pihaknya yakin gabungan antara teknologi canggih dan perladangan tradisional secara sempurna akan menghasilkan piawaian baharu dan meningkatkan taraf pertanian. Beliau berkata, BFR terlibat dalam penyelidikan, penuaian, perladangan, penanaman akuaponik, pokok buah-buahan, sayuran serta tanaman herba di samping pemprosesan buahbuahan dan hasil tumbuhan lain. Sebelum ini dilaporkan nilai eksport durian dari Malaysia meningkat dua kali ganda kepada hampir AS$l8 juta (RM73.1 juta) pada 2017 daripada AS$8.8 juta (RM35.8 juta) pada 2011.

 

Source: Harian Metro