Rezeki Eugene, Andrea bangkit daripada ambang kekalahan

17 Dec Rezeki Eugene, Andrea bangkit daripada ambang kekalahan

EUGENE Heng Jia Li dan Andrea Lee Jia Qi, kedua-duanya dari Malaysia, mencuri tumpuan apabila bangkit daripada ambang kekalahan untuk muncul juara kategori Lelaki Bawah 17 Tahun dan Perempuan B19 Kejohanan Skuasy Remaja Antarabangsa Terbuka Kuala Lumpur Redtone, baru-baru ini.

Eugene, pilihan bersama 3/4, mengejutkan pemain utama dari Iran, Alireza Shameli 8-11, 11-8, 11-2, 9-11, 13-11 pada perlawanan akhir.

Pada set kelima penentuan, Alireza sepatutnya memenangi permainan apabila mendahului 10-8, namun Eugene tenang dan bermain cemerlang dengan memaksa lawannya itu melakukan dua kesilapan mudah.

Tuah menjadi milik Eugene untuk mengakhiri perlawanan dengan kemenangan 13-11 sekali gus trofi pertamanya sejak kejohanan ini diperkenalkan pada 2007.

Sebelum ini, dalam pertemuan separuh akhir, pemain asal Subang Jaya berusia 16 tahun itu menyingkirkan pilihan nombor dua dari Hong Kong, Harley Lam Yat Ting 11-8, 6-11, 11-9, 11-9 dalam perlawanan penuh meyakinkan.

Teringat pesan jurulatih

Sementara itu, pilihan utama dari Kuala Lumpur, Andrea yang diramal mara ke final turut berdepan kesukaran bagi merangkul mahkotanya, musim ini.

Berdepan musuh dari Jepun, Satomi Watanabe, Andrea diheret sehingga ke set kelima.

Ketinggalan 6-10 pada set terakhir mungkin sukar untuk bangkit, tetapi Andrea membuktikan tiada yang mustahil dalam skuasy.

Ketika kedudukan skor terikat 2-2, pemain berusia 17 tahun itu mengamalkan corak pukulan bersih sehingga mendapat empat mata berturut-turut sebelum keluar dari gelanggang pertarungan dengan kemenangan 12-10 untuk menggembirakan sejumlah peminat yang hadir menyaksikan pertemuan sengit itu di Pusat Skuasy Negara, Bukit Jalil.

Andrea menang, 11-8, 5-11, 6-11, 11-4, 12-10 untuk meraih gelaran keempatnya bagi kategori Bawah 19 tahun.

“Pada keadaan ketinggalan 6-10, memang saya fikir akan kalah. Tetapi, saya serta-merta teringat pesanan Jurulatih (Andrew Cross and Kenneth Low) yang memberitahu sesuatu semasa rehat.

“Saya bermain permainan panjang dan ia berhasil dan saya sentiasa merapati Satomi,” kata Andrea.

Sementara itu, Satomi akui lawannya itu berhak memenangi kejuaraan berdasarkan aksi hebatnya di pentas akhir.

“Saya ada peluang, tetapi keadaan panik menyebabkan kehilangan takhta. Saya harus menyalahkan diri sendiri,” kata Satomi yang mengikuti latihan di bawah seliaan Jurulatih Aaron Soyza di Pulau Pinang sejak lima tahun lalu.

Pecah rentak Alireza

Dalam pada itu, Eugene berkata, dia terpaksa ‘memecahkan’ rentak permainan Alireza untuk memenangi perlawanan.

“Saya terpaksa menukar permainan saya dari semasa ke semasa dan bermain lebih panjang supaya dia letih. Dia kecewa dan buat kesilapan,” katanya yang bertanding dalam kejohanan itu sejak edisi pertama.

Keputusan terbaiknya ialah menghuni tempat kedua dalam kategori Lelaki Bawah 13 tahun pada 2007.

 

Source: Sinar Harian

No Comments

Sorry, the comment form is closed at this time.