Kejohanan skuasy remaja terbesar di Asia, Kejohanan Terbuka Remaja Kuala Lumpur bakal menarik penyertaan 738 pemain dari 17 negara yang akan berlangsung dari 4 hingga 9 Disember ini.

Kejohanan itu yang juga pertandingan kedua terbesar di dunia, banyak melahirkan pemain berbakat tempatan seperti pemenang dua pingat emas Sukan SEA 2017 Kuala Lumpur, Ng Eain Yow.

“Kami adalah satu-satunya persatuan skuasy di negara ini yang menganjurkan kejohanan di peringkat antarabangsa bagi pemain berumur bawah sembilan tahun.

“Tidak seperti sukan lain, skuasy memerlukan pendedahan pemain di usia yang lebih awal dan selalunya sukar buat seseorang pemain itu jika bermula umur selepas 15 tahun. Eain Yow misalnya boleh kami katakan 100 peratus dilahirkan dari Kuala Lumpur dan beliau bermula seawal lima tahun,” kata Presiden Persatuan Raket Skuasy Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Steven Kwan di sini hari ini.

Beliau berkata, kejohanan kali ini adalah tahun keempat menyaksikan lebih daripada 600 pemain menyertai kejohanan itu.

“Berdasarkan rekod penganjuran yang baik daripada segi penyertaan, Persekutuan Skuasy Asia (ASF) terus menyambung untuk meletakkan kejohanan kami ke status platinum (untuk mengumpul mata ranking). Kami komited memastikan peserta dapat mengumpul pengalaman dan mencipta memori indah,” katanya.

Kejohanan kali ini turut menyaksikan REDtone meneruskan tajaan buat tahun ketujuh dengan pertandingan peringkat awal sehinggalah pusingan separuh akhir diadakan di dua venue iaitu Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil dan Pusat Skuasy Jalan Duta manakala final pada 9 Disember berlangsung di Bukit Jalil.

“Kami berhasrat lebih ramai pemain bertaraf bintang akan dilahirkan menerusi kejohanan ini dan kami gembira untuk meneruskan kerjasama bersama Persatuan Raket Skuasy Kuala Lumpur,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Kumpulan REDtone, Lau Bik Soon.

Sementara itu, pemain remaja meningkat naik, Noor Ainaa Armani, 16, berkata dia akan bertarung dalam kategori bawah 19 tahun kerana menyifatkan ia adalah paling mencabar.

“Saya diletakkan sebagai pemain pilihan ketiga dan sejak beberapa minggu lalu saya sudah meningkatkan intensiti latihan dan mengadakan latihan bersama pemain senior lain. Saya harap dapat meraih gelaran pada kali ini,” katanya yang pernah merangkul gelaran bawah 11 tahun pada tahun 2012.