49 LOKASI JOHOR WIFI DI LUAR BANDAR TAHUN INI
12 Apr 2017

DATUK SERI MOHAMED KHALED NORDIN (TENGAH) BERGAMBAR DENGAN PEGAWAI DAERAH SELEPAS PENYAMPAIAN PLAK WIFI PADA PELANCARAN PROJEK JOHOR WIFI LUAR BANDAR DI DATARAN PUTERI MENANGIS, PONTIAN.

Kemudahan jalur lebar (WiFi) percuma dikenali Johor WiFi, akan diperluaskan ke 74 lokasi hotspot tahun ini, membabitkan peruntukan RM4.31 juta dengan 49 lokasi di kawasan luar bandar.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah negeri, Datuk Hasni Mohammad, berkata langkah itu sejajar hasrat kerajaan negeri untuk memperluaskan akses internet, terutama di kawasan luar bandar mulai tahun ini.

Katanya, pada tahun lalu sebanyak 135 hotspot dibangunkan sebagai perintis projek Johor WiFi, yang tertumpu di kawasan bandar dan dikelolakan pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Kerajaan Johor memperuntukkan lebih RM4 juta setahun untuk tempoh tiga tahun ini bagi melaksanakan kemudahan ini.

“Sejak dilaksanakan, kira-kira 235,000 pengguna sudah mendaftar bagi menggunakan perkhidmatan berkenaan secara percuma,” katanya pada majlis pelancaran Johor WiFi Luar Bandar di Kampung Parit Puteri Menangis di sini, hari ini.

Program itu dilancarkan Menteri Besar, Datuk Seri Mohamed Khaled sempena lawatan kerja ke Parlimen Pontian. Hadir sama, Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Ahmad Maslan yang juga Ahli Parlimen Pontian.

Pontian menjadi lokasi pertama kemudahan Johor WiFi di luar bandar sebelum diperluaskan ke lokasi berpotensi lain dalam usaha merapatkan jurang digital antara masyarakat bandar dan luar bandar.

Kemudahan itu diperkenalkan sejajar usaha kerajaan negeri untuk mempersiapkan rakyatnya maju seiring dengan pelbagai teknologi terkini, selain mahu memberi peluang kepada mereka yang tidak mempunyai akses internet menikmati perkhidmatannya.

Sebanyak lima lokasi hotspot Johor WiFi dikenal pasti di kawasan Pontian termasuk di Dewan Homestay Puteri Menangis, Pejabat Tanah dan Daerah Pontian serta Masjid Penerok.

Dalam pada itu Mohamed Khaled berkata, sebanyak RM119 juta peruntukan diluluskan bagi tujuan pembangunan Parlimen Pontian tahun ini.

Katanya, kerajaan negeri turut meluluskan pembinaan dua lagi Sekolah Agama Kerajaan Johor di daerah ini tahun ini, dengan peruntukan kira-kira RM7.4 juta.

Katanya, ia adalah tambahan kepada lapan sekolah agama yang sudah siap dan dalam pembinaan Kumpulan Prasarana Rakyat Johor Sdn Bhd (KPRJ) pada fasa sebelumnya di daerah itu.

Source: Berita Harian