860 BAKAL GEGAR TERBUKA KL
26 Nov 2019

Steven Kwan (dua kiri) dan Bik Soon (tengah) bersama pemain skuasy remaja kebangsaan ketika sidang media Kejohanan Skuasy Remaja KL REDtone di Puchong. FOTO OWEE AH CHUN

SERAMAI 860 pemain skuasy muda tempatan dan luar negara bakal dihimpunkan dalam acara skuasy terbesar Asia, Kejohanan Terbuka Remaja Antarabangsa Kuala Lumpur, bulan depan.

Kejohanan edisi ke-13 yang dijadualkan berlangsung dari 4 hingga 8 Disember itu anjuran Persatuan Raket Skuasy Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (SRAFTKL) dengan kerjasama REDtone International Bhd (REDtone).

 

Selain Malaysia, pertandingan skuasy kedua terbesar di dunia itu mendapat penyertaan pemain dari 19 negara lain antaranya Amerika Syarikat, England, Mesir, Qatar, China dan Jepun.

 

Presiden SRAFTKL yang juga pengerusi penganjur kejohanan itu, Steven Kwan berkata, objektif utama pihaknya bertujuan melahirkan pemain pelapis tempatan yang berbakat untuk mewakili negara pada masa depan.

“Sepanjang penganjuran acara ini, beberapa pemain skuasy kebangsaan berjaya dikenal pasti antaranya Ng Eain Yow yang juga bekas juara remaja dunia selain Chan Yiwen dan Andrea Lee.

“Selain itu, kami memfokuskan kepada pemain berusia bawah sembilan tahun yang dianggap perlu diberikan pendedahan lebih awal menerusi kejohanan berprestij seumpama ini,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan REDtone, Lau Bik Soon. Kejohanan kali ini menyaksikan REDtone meneruskan tajaan buat kali kelapan dengan pertandingan pusingan awal sehingga final bakal berlangsung di dua venue iaitu Pusat Skuasy Jalan Duta dan Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil.

Ia merangkumi enam kategori bagi lelaki dan wanita iaitu berusia bawah sembilan hingga 19 tahun.

Dalam pada itu, pemain remaja kebangsaan, Noor Ainaa Amani Ampandii, 17, mahu menyerap segala tekanan untuk mempamerkan aksi terbaik selaku pilihan nombor satu kategori bawah 19 tahun kejohanan berkenaan.

“Pada edisi tahun lalu, saya hanya mampu menduduki tempat ketiga dan mahu menebus kekecewaan itu untuk muncul juara kali ini dengan bersaing dengan beberapa rakan senegara lain yang juga pencabar kuat seperti Aira Azman dan Ooi Kah Yan,” katanya yang pernah menjuarai kategori bawah 11 tahun pada 2012.

Credit to: hmetro