REDtone Anjur Pertandingan Pertanian Pintar Bantu Lonjakkan Hasil Tanaman
23 Oct 2020

KUALA LUMPUR, 22 Okt  — REDtone International Bhd (REDtone) buat julung kalinya menganjurkan pertandingan Digital Pemacu Pertanian Lestari untuk menggalakkan penggunaan teknologi pertanian pintar di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Lau Bik Soon berkata,  pertandingan yang akan bermula esok sehingga 15 Dis, 2020, terbuka kepada pekebun kecil dan bakal menyaksikan REDtone menggunakan sistem aplikasi baja automatik yang dapat meningkatkan hasil dan kualiti tanaman yang lebih baik, di ladang petani yang bakal memenangi pertandingan ini.

“Impak teknologi seperti IoT (Internet of Things) terhadap pertanian seperti meningkatkan pengeluaran dan pendapatan, meminimumkan pembaziran, mengurangkan sumber tenaga kerja dan kos operasi, adalah manfaat utamanya.

“Oleh itu, amat penting untuk petani kecil kita turut menyertai perjalanan pendigitalan ini bagi memastikan kelestarian kebun kecil mereka, menggalakkan pertumbuhan dan pengembangan serta memastikan keselamatan bekalan makanan negara kita,” katanya dalam satu kenyataan.

Pertandingan ini dianjurkan dengan kerjasama dengan Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan disokong oleh Jabatan Pertanian.

Sejak dilancarkan pada tahun 2018, Pertanian Pintar REDtone yang menawarkan penyelesaian yang dibina khas dalam platform IoT bersepadu yang membolehkan petani memanfaatkan pengimbas, pintu masuk pintar dan sistem pemantauan, telah meningkatkan hasil dan pendapatan pelanggannya yang menanam tembikai wangi, sayur-sayuran, cili dan tanaman lain.

— BERNAMA, 22 Oct 2020