SKUASY TERBUKA REMAJA ANTARABANGSA KL TARIK 860 PENYERTAAN
26 Nov 2019

PEMAIN skuasy remaja kebangsaan, Noor Ainaa Amani Ampandi (tengah), Laavanya Kugan (kanan) dan Hashvind Kugan ketika ditemui ketika sidang media Kejohanan Skuasy Remaja KL REDtone 2019 di Puchong. - Foto Owee Ah Chun

KUALA LUMPUR: Kejohanan Skuasy Terbuka Remaja Antarabangsa REDtone Kuala Lumpur semakin gah apabila menarik penyertaan 860 pemain tempatan dan antarabangsa membabitkan 20 negara yang akan berlangsung pada 3 hingga 8 Disember ini.

Kejohanan edisi ke-13 itu dianjurkan Persatuan Raket Skuasy Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (SRAFTKL) dengan kerjasama REDtone International Bhd (REDtone).   

Selain Malaysia, kejohanan skuasy kedua terbesar di dunia itu selepas Terbuka Remaja Amerika Syarikat (AS) turut mendapat penyertaan pemain dari 19 negara lain seperti Mesir, Qatar, Taiwan, Singapura, Hong Kong, Jepun dan England.

“Sepanjang penganjuran, beberapa pemain skuasy kebangsaan berjaya dikenal pasti antaranya adalah Ng Eain Yow yang juga bekas juara remaja dunia selain Chan Yiwen dan Andrea Lee. 

“Kami juga memberi tumpuan kepada pemain berusia bawah sembilan tahun kerana mereka perlu diberikan pendedahan lebih awal menerusi kejohanan berprestij seumpama ini,” kata Presiden SRAFTKL yang juga pengerusi penganjur kejohanan itu, Steven Kwan dalam sidang media hari ini.

Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan REDtone, Lau Bik Soon. 

REDtone meneruskan tajaan buat kali kelapan dalam kejohanan berkenaan dan pertandingan pusingan awal sehingga final bakal berlangsung di dua lokasi iaitu Pusat Skuasy Jalan Duta serta Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil.   

Sebanyak enam kategori dipertandingkan untuk lelaki dan perempuan iaitu bawah sembilan hingga 19 tahun.   

“Kami ingin mengucapkan tahniah kepada SRAFTKL kerana berjaya mendapat lebih 800 penyertaan dengan 20 negara mengambil bahagian,” kata Bik Soon.

Sementara itu, Noor Ainaa Amani Ampandi yang beraksi dalam kategori bawah 19 tahun mengakui mahu menyerap tekanan apatah lagi ketika dia diletakkan selaku pemain pilihan utama dalam kejohanan berkenaan.

“Sebelum ini saya menduduki tempat ketiga dan mahu menebus kekecewaan itu untuk muncul juara kali ini dengan bersaing dengan beberapa rakan senegara lain yang juga pencabar kuat,” katanya.

Credit to: BHarian