776 sertai Squash Junior Terbuka KL

REDtone KL INTERNATIONAL JUNIOR OPEN SQUASH CHAMPIONSHIPS , sports, squash malaysia, squash players malaysia

29 Nov 776 sertai Squash Junior Terbuka KL

SERAMAI 776 peserta mengesahkan penyertaan di Kejuaraan Squash Junior Terbuka Kuala Lumpur – REDtone International Berhad (REDtone) pada 5 hingga 10 Disember ini.

Presiden Persatuan Raket Skuasy Kuala Lumpur, Steven Kwan menjelaskan jumlah peserta itu membabitkan 19 negara dan ia mengatasi rekod penyertaan musim lalu yang disertai 660 peserta daripada 15 negara.

Katanya, ia menunjukkan kejohanan edisi ke-11 itu dijangka lebih menarik dengan tiga gelanggang akan digunakan termasuk di Royal Lake Club, gelanggang skuasy Jalan Duta dan Bukit Jalil.

“Kita bakal menyaksikan penampilan pertama peserta daripada enam negara dalam kejohanan ini termasuk Botswana, Arab Saudi, Filipina, Amerika Syarikat, Afrika Selatan dan Mesir.

“Kami berbangga melihat sambutan hangat yang diterima terhadap penganjuran kejohanan ini setiap tahun dan kami percaya ia akan menyumbang sesuatu kepada sukan skuasy.

“Malah, kami turut mengucapkan terima kasih kepada REDtone yang terus menjadi penaja kepada kejohanan ini, tanpa penaja sukar untuk ia dianjurkan,” katanya.

Kwan berkata demikian pada sidang media selepas penyerahan penajaan di pejabat REDtone di sini, hari ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan REDtone, Lau Bik Soon menjelaskan pihaknya masih belum dapat mengesahkan berapa jumlah sebenar tajaan kerana ia turut merangkumi penyediaan siaran langsung kejohanan dalam talian dan penajaan persiapan pemain Malaysia.

“REDtone komited untuk menaja kejohanan peringkat junior ini bagi membantu perkembangan bakat baharu untuk masa akan datang.

“Kami percaya kejohanan ini akan dikembangkan dengan lebih baik dan mendapat perhatian menyeluruh di peringkat antarabangsa,” katanya.

 

Source: Harian Metro

No Comments

Sorry, the comment form is closed at this time.